KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bersetuju memasukkan amalan
perubatan Islam di bawah Rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan
Komplementari 2012 selepas perkara itu dipersetujui Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) dan semua Jabatan Agama Islam Negeri.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata notis pindaan menambah
perubatan Islam dalam tafsiran rang undang-undang itu akan diberikan ketika
sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
"Sebelum ini, kita tidak masukkan perubatan Islam kerana tidak
mendapat persetujuan Jakim tetapi sekarang sudah dipersetujui bukan saja Jakim
malah Jabatan Agama Islam negeri.
"Selepas ini, pengamal perubatan Islam termasuk bomoh perlu
mendaftar menerusi majlis yang akan ditubuhkan," katanya ketika ditemui
pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau membentangkan Rang Undang-undang Perubatan
Tradisional dan Komplementari 2012 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Semalam, anggota parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang meminta
kementerian itu mengambil kira perubatan Islam dalam rang undang-undang itu
kerana perubatan moden dan Islam sama penting, di samping peningkatan pesakit
yang beralih kepada kaedah perubatan Islam atau tradisional.
Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia
(GAPPIMA), Mohd Fauzi Mustaffa juga melahirkan kebimbangan terhadap
kelangsungan amalan itu terhadap masa depan terutama bagi merawat penyakit
serta kes sihir yang semakin berleluasa.
Di bawah rang undang-undang itu, Liow berkata pihaknya dengan kerjasama
Jakim akan memantau proses pendaftaran pengamal perubatan sama ada Islam,
tradisional Melayu, Cina dan India di bawah satu majlis yang akan ditubuhkan.
Katanya pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang
mengingkari arahan pendaftaran itu boleh dikenakan denda antara RM30,000 dan
RM50,000 atau penjara dua tahun.
Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Kesihatan itu
berkata hampir 15,000 pengamal perubatan tradisional dan komplementari tidak
akan terlepas daripada tindakan tegas sekiranya didapati menipu dan melanggar
undang-undang berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata berikutan perkembangan pesat perubatan
tradisional dan komplementari di Malaysia dan antarabangsa, Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) telah merangka strategi yang boleh digunakan dalam
membangunkan perubatan tradisional dan komplementari di negara masing-masing.
Katanya Kementerian Kesihatan juga telah melancarkan dasar kebangsaan
dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari yang menyatakan bahawa
perubatan itu akan wujud bersama dengan perubatan moden dan akan disepadukan
dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan bagi meningkatkan kesejahteraan dan
tahap kesihatan rakyat.
"Di Malaysia, permintaan terhadap perubatan ini semakin meningkat
dan berkembang pesat dan pada masa sama kementerian menerima banyak aduan dari
semasa ke semasa berhubung perubatan ini selain sering digemparkan dengan
pelbagai berita dan peristiwa melibatkan pengamal perubatan ini," katanya.
Liow berkata rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan
Kompelementari 2012 digubal untuk memastikan amalan perubatan yang dijalankan
di negara ini adalah selamat dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.
Setakat ini, 10 hospital kerajaan menjalankan program integrasi
menawarkan perubatan moden bersama-sama dengan perubatan tradisional, iaitu
Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru),
Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital
Duchess of Kent (Sandakan), Hospital Umum (Sarawak), Hospital Sultanah Bahiyah
(Alor Setar), Hospital Port Dickson, Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Cameron
Highlands) dan Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (Kota Bharu). - Bernama
sumber :
No comments:
Post a Comment